Petang itu mereka bercadang untuk berkelah di Pantai Cherating. Merehatkan otak yang kian tepu.
Masing-masing mematikan enjin motor sambil duduk di tepi longkang menanti budak-budak perempuan kelas mereka yang masih tidak nampak batang hidung.
"Mana ni.. Budak perempuan ni lambat betul la", rungut John yang memang kurang penyabar orangnya. John mengais-ngais daun kering di tepi longkang sambil melihat gelagat Pokcek dan Alan.
"Jom! Jom! Kita tangkap gambar dulu kat sini!" pekik Amir cuba mententeramkan keadaan.
Tiba-tiba sebuah kereta kancil berhenti berhampiran mereka. Kelihatan Idah dan beberapa orang lagi budak perempuan di dalam kereta tersebut.
"Lambat la puok mung ni!", pekik Puang berseloroh pada Idah.
Mereka meneruskan perjalanan ke Cherating.
"Meh sini aku bakar ayam tu!", John buat-buat pandai. Kedengaran suara bergurau senda dan gelak ketawa di tepi Pantai Cherating petang itu.
Awal dan Pokcek sibuk dengan kameranya. Mengambil gambar untuk kenangan.
"John!John! Pandang sini!", panggil Alan sambil menghalakan lensa kamera ke arah John. Lagaknya macam profesional. John yang sedang sibuk membakar ayam sempat lagi menunjukkan simbol "Peace" pada Alan.
Alan tak banyak bercakap petang itu, tak seperti hari-hari biasa. Dia hanya berdiam diri. Duduk bersila menghadap ke arah pantai sambil menikmati bihun goreng dan ayam bakar .
Kenyang. Masing-masing bersiap mahu turun ke pantai. John, Fami dan Zid masih sibuk membakar ayam.
"Korang pegilah mandi.. Aku tak minat mandi pantai!", pekik John apabila melihat rakan-rakan yang lain sudah bersiap mahu bermain air pantai.
John tersenyum melihat gelagat rakan-rakannya seronok berlari ke pantai.
Jarum jam menunjukkan hampir pukul 6. Ayam sudah habis dibakar. Air laut pun sudah mula pasang.
"Woi! dah la! naik-naik! air dah pasang ni!", jerit Fami dan Zid sambil mengemas barang-barang untuk pulang. John masih duduk bersila di atas tikar, meratah sisa ayam yang belum habis sambil melihat rakan-rakannya berjalan naik ke darat.
"Eh?! Ade orang lemas ke tu?", tanya John pada Zid dan Fami sambil menunding ke arah tepi pantai tempat Puang dan Amir berdiri.
Suasana menjadi hingar bingar. Kelihatan sesusuk tubuh yang lemah ditarik ke tepi pantai.
"Yus yang lemas tu Fami!", jerit John bingkas bangun dan berlari ke tempat kejadian.
"Siapa lemas Puang?", John serius.
"Yus dengan Alan", suara Puang terketar. Raut wajahnya cemas.
Kelihatan Awal dan Fendi sedang menarik Yus ke darat. Seorang penyelamat pantai turut membantu dan seorang lagi hanya berdiri.
Yus terbaring lemah.
Nanti!Mana Alan? John mula panik.
"Mana Alan?!", tanya John pada Amir.
"Alan tak jumpa...", Amir menjawab lemah. Suaranya sayu.
John tergamam. Air laut yang kian berombak tidak menunjukkan apa-apa riak di permukaannya. Suara-suara tangisan mula memecah keheningan senja itu.
No comments:
Post a Comment