Sunday, 28 July 2013

Reggae Opera Cina

Pin! Pin!

"Assalamualaikum! Pearrr!!", jerit John.
Seperti malam-malam sebelumnya, rumah sahabatnya itu memang menjadi tempat melepak empat orang anak muda yang tak berhenti mencari arah hidup.

"Bejat! Kawan awok datang ni!", si Farid adiknya Pear menjerit. Budak ni memang biasa menjadi penyambut tetamu bila John, Samad, dan Pidot datang mahu melepak.

"Ah! Kuat betul loghat Pahang budak ni", John menyegeh melihat gelagat Farid yang tak berbaju dengan seluar sekolah dari petang tadi.

Farid masih menjerit-jerit memanggil Pear sambil terkinja-kinja bergayut di pintu berandanya yang makin senget.

"John! Masuklah dulu!", jerit Pear dari dalam rumah. Farid bingkas lari masuk ke dalam rumah.

"Haa Amjadd.. masuklah..", terdengar suara kecil Mak Cik Siti, emak Pear turut memanggil masuk.

John menolak motornya masuk ke bawah tempat letak kereta.

"Assalamualaikum", John memberi salam ketika masuk ke dalam rumah. Walaupun rumah Pear itu dah macam rumah keduanya, tapi adab tetap dijaga. Lebih-lebih lagi bila ada orang tua Pear.

"Pear! Gitar mana gitar?", tanya John sambil berdiri di depan cermin menelek nelek parut jerawat di mukanya.

"Adik! Pergi ambik gitar dalam bilik Kak Onie, bagi kat abang Amjad", perintah Pear pada Farid yang tercongok di depan TV sibuk melayan saluran kartunnya.

"Tak habis-habis dengan kartun.. Dah la tu dik..", emak Pear merungut dek kerana saluran TV yang tak bertukar dari petang tadi.

Farid keluar dari bilik Kak Onie dengan gitar di kanan dan kiri tangannya. "Nah..", Farid meletakkan gitar di atas sofa dan kembali tercongok di depan TV.

John mengambil gitar, "Pear.. Malam ni kita main lagu Reggae lah".

"Berehh..", jawab Pear pendek lalu mencapai gitar lagi satu.

"Kau main kord C G Am dengan D, nanti aku masuk lead", terang John pada Pear.

Seperti biasa tanpa banyak soal Pear mula memetik tali gitar dengan kord yang diberi oleh John. John duduk memerhati sambil mencari idea melodi yang nak dimainkan.

"Cepatlah masuk!", jerit Pear pada John yang masih kekeringan idea.

John mula memetik gitarnya sambil mencari-cari bunyi yang sesuai dengan irama yang dimainkan oleh Pear. Idea John makin rancak serancak lagu yang mereka mainkan. Masing-masing ketawa bila solo dari gitar John mula berbunyi pelik.

"Woi! Panjangnya lagu! Bila nak habis ni?!" tanya Pear sambil ketawa melihat si John spontan tak berhenti memetik gitarnya.

"Lagu apa lah yang korang main nii.. Macam bunyi opera cina je mak dengar", tiba-tiba terdengar suara Mak Cik Siti yang terjaga selepas terlelap di depan TV.

Pear dan John masing-masing berpandangan.

"HAHAHAHA!", berderai ketawa Pear dan John tak dapat menahan rasa geli hati dengan pertanyaan Mak Cik Siti.

"Berhentilah bodo!!" jerit Pear pada John yang masih tak berhenti ketawa.

Malam itu, rumah Mak Cik Siti hingar bingar dengan ketawa Pear dan John.

Lagu Reggae Opera Cina mereka terus kedengaran.





No comments:

Post a Comment